Total Pageviews

Friday, 16 December 2011

PERIBAHASA

PERIBAHASA      
  • Susunan beberapa perkataan yang mengandungi maksud tersirat.
  • Lahir daripada cetusan fikiran orang Melayu dahulu.
  • Menggambarkan sifat dan kelakuan manusia atau keadaan sesuatu
  • Digunakan orang sebagai kiasan, teladan dan pengajaran.
  • Memperindah bahasa dan menimbulkan daya tarikan. 
  • Karangan atau pertuturan akan lebih baik jika peribahasa digunakan dengan baik.
4 JENIS PERIBAHASA
  1. SIMPULAN BAHASA
  2. PERUMPAMAAN
  3. PEPATAH
  4. BIDALAN                                                                                                                                                 


  1. 1. SIMPULAN BAHASA
    • Kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap.
    • Mengandungi maksud yang berlainan daripada makna perkataan yang membentuknya.
    • Merupakan bentuk peribahasa yang paling ringkas.
    • Biasanya terdiri daripada dua perkataan.
    Contoh :
    muka + tembok = muka tembok
    Maksud: Tidak tahu malu
    Ayat: Aina seorang yang muka tembok kerana sering meminta-minta barang orang lain tanpa rasa malu walaupun dia tahu orang itu tidak suka kelakuannya

    2. PERUMPAMAAN
    • Merupakan salah satu jenis peribahasa yang membandingkan sesuatu dengan yang lain.
    • Biasanya, maksud perumpamaan berlainan daripada kelompok kata yang membentuknya.
    • Pada umumnya, menggunakan kata-kata bandingan bagai, ibarat, laksana, seperti dan umpama.
    Contoh :
    Seperti anjing dengan kucing
    Maksud: Dua orang yang sering bertengkar apabila bertemu
    Ayat: Sikap Rahima dan Suzie tidak ubah seperti anjing dengan kucing. Walaupun mereka adik beradik, mereka sentiasa bertengkar setiap kali mereka bertemu.

    3. PEPATAH
    • Merupakan sejenis peribahasa yang berangkap.
    • Biasanya terdapat pengulangan kata di dalamnya untuk penegasan atau unsur-unsur pengajaran yang hendak disampaikan.

    Bagaimana acuan, begitulah kuihnya

    Maksud:     1.Seseorang anak itu akan menurut sifat dan perangai ibu bapanya. 
    2.Keadaan sesuatu itu menurut asalnya
Ayat: Mariam sering disamakan dengan ibu bapanya yang suka membantu mereka yang memerlukan. Maklumlah, seorang anak itu akan menurut sifat dan perangai ibu bapanya. Bak kata peribahasa, bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

       4. BIDALAN
  • Mengandungi nasihat dan pengajaran yang benar.
  • Biasanya merupakan ungkapan yang pendek yang telah melekat di mulut orang.
Nasi sudah menjadi bubur
Maksud: Sesuatu kerosakan yang tidak dapat diperbaiki lagi.
Ayat: “Usah dikesal atas apa yang telah berlaku kerana ianya tidak dapat diperbaiki lagi. Bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur,” nasihat Mak Timah kepada anaknya Hisham yang baru putus tunang.



RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN PERIBAHASA


PELAJARAN            : BAHASA MELAYU
TAJUK                      : PERIBAHASA
TARIKH                    : 26 September  2011
HARI                         : Khamis
MASA                        :1 JAM (7.40pagi –8.40pagi)
KELAS                      :Tahun 5
BIL MURID             :28 orang
OBJEKTIF               :Pada akhir pengajaran, murid-murid dapat:
􀂉 Memahami maksud lapan peribahasa baru.
􀂉 Mengukuhkan pemahaman tentang peribahasa yang pernah dipelajari dan yang
    akan dipelajari.
􀂉 Memahami dan menggunakan peribahasa yang dipelajari berdasarkan situasi.

BAHAN BANTU MENGAJAR
􀂉 kad imbasan bermagnetik
􀂉 persembahan lakonan video (CD-ROM)
􀂉 rakaman lakonan (audio)
􀂉 persembahan program PowerPoint
􀂉 papan putih kecil
􀂉 marker
􀂉 lembaran kerja

PENGETAHUAN SEDIA ADA
Murid-murid sudah mempelajari beberapa peribahasa seperti:
a) Buruk siku                         e) Buta tuli
b) Besar hati                          f) Campur tangan
c) Lepas tangan                    g) Gaji buta
d) Berat tangan

LANGKAH AWAL
Murid-murid dibahagikan kepada enam kumpulan berdasarkan
nama-nama bunga:
1) Teratai                               4) Mawar
2) Anggerik                           5) Tulip
3) Matahari                           6) Dahlia






LANGKAH PENGAJARAN

INDUKSI
10 minit
􀂉 Murid akan mendengar rakaman lakonan melalui audio menggunakan simpulan
    bahasa ‘berat tangan’, ‘campur tangan’ dan ‘besar hati’.
􀂉 Murid-murid cuba meneka maksud peribahasa tersebut.
􀂉 2 markah akan diberikan untuk setiap tekaan yang betul.
􀂉 Guru akan mengedarkan lembaran kerja yang pertama yang dinamakan ‘Tokok
    Tolak’.
􀂉 Dalam kumpulan masing-masing, murid-murid perlu menolak atau menambah
    perkataan-perkataan berdasarkan gambar-gambar yang diberikan agar menjadi
    peribahasa-peribahasa di bawah ini.
􀂉 2 markah akan diberikan untuk setiap tekaan yang tepat.
a) Buruk siku                         d) Lepas tangan
b) Buta tuli                            e) Gaji buta
􀂉 Kemudian, guru akan menunjukkan makna bagi peribahasa tersebut melalui
    persembahan ‘PowerPoint’pertama dan murid-murid perlu meneka peribahasanya
    dan tulis jawapan di papan putih kecil yang disediakan.
􀂉 1 markah akan diberikan untuk setiap tekaan yang betul.

LANGKAH 1
10 minit
􀂉 Guru akan melekatkan 16 keping gambar berukuran A5 di papan putih.
􀂉 Murid-murid perlu padankan gambar-gambar tersebut supaya menjadi peribahasa
    yang diinginkan.
􀂉 2 markah akan diberikan untuk setiap tekaan.

1) Bagai aur dengan tebing
2) Seperti katak di bawah tempurung
3) Seperti kerbau dicucuk hidung
4) Seperti anjing dengan kucing
5) Seperti kacang lupakan kulit
6) Seperti rusa masuk kampung
7) Seperti bumi dengan langit
8) Bagai mencurah air di daun keladi

LANGKAH 2
10 minit
􀂉 Setelah pemadanan gambar untuk peribahasanya, murid-murid cuba meneka makna
    peribahasa-peribahasa tersebut.
􀂉 Kemudian, dengan menggunakan ayat yang lengkap, murid-murid memadankan
    maksudnya dengan peribahasa tersebut menggunakan kad bermagnetik.
􀂉 2 markah akan diberikan untuk setiap tekaan yang betul.


1) Hidup saling bekerjasama
2) Orang yang terhad pengetahuannya, hanya mengetahui hal-hal yang ada di
    sekelilingnya sahaja.
3) Orang yang bodoh dan mengikut sahaja apa yang diarahkan.
4) Dua orang yang sering bertengkar apabila bertemu.
5) Tidak mengenang jasa atau budi orang yang pernah membela atau menolongnya.
6) Orang yang tercengang-cengang apabila tiba di suatu tempat yang baru.
7) Sangat jauh berbeza.
8) Sia-sia sahaja mengajar atau menasihati orang yang tidak mahu mendengarnya

LANGKAH 3
8 minit
􀂉 Guru menayangkan rakaman video lakonan murid-murid, berdasarkan peribahasa
    di atas.
􀂉 Murid-murid meneka peribahasanya.
􀂉 2 markah akan diberikan bagi tekaan yang tepat.

LANGKAH 4
7 minit
􀂉 Memberikan dua kad situasi kepada setiap kumpulan.
􀂉 Murid-murid memadankan 16 situasi di bawah ini dengan peribahasa yang telah
    dipelajari.
1) Engkau ni degil betullah! Tak mahu dengar nasihat orang langsung!
2) Aku dah tak mahu lagi menasihati engkau. Nampak sia-sia sahaja nasihat yang aku
    Berikan selama ini.
3) Wah! Cantiknya rumah banglo kau ini! Tak pernah aku melihatnya.
4) Dia berasa takjub melihat keindahan Bandar Singapura ini.
5) Walaupun mereka adik-beradik, rupa serta perangai mereka jauh berbeza.
6) Karim itu kacak, tetapi isterinya tidak cantik langsung.
7) Kita haruslah saling bantu membantu dan bekerjasama supaya hidup kita aman.
8) Penduduk kampung ini semuanya saling bekerjasama serta bantu membantu.
9) Pak Mail hanya mengetahui perkara yang berlaku di kampungnya sahaja.
10) Yusof sentiasa ketinggalan kerana tidak mengambil tahu hal ehwal yang berlaku
      di luar.
11) Dia mengikut apa-apa sahaja yang diarahkan orang.
12) Encik Ismail mengikutkan kata-kata isterinya sahaja.
13) Mereka berdua ini selalu bertengkar walaupun perkara itu remeh.
14) Emak pening kepala melihat abang dan adik selalu bergaduh apabila berjumpa.
15) Aku tidak akan membantu engkau kalau aku tahu engkau akan melupakannya.







16) Ibunya berasa sedih melihat Kamal tidak lagi mempedulikannya setelah berjaya.
􀂉 Murid-murid akan meletakkan kad-kad yang telah diberikan di papan putih.

PENUTUP
10 minit
􀂉 Murid-murid menjawab lembaran kerja di mana mereka perlu isikan tempat kosong
    dengan peribahasa yang sesuai.

TINDAKAN SUSULAN
􀂉 Murid-murid menjawab lembaran kerja di rumah.
a) Menggantikan peribahasa yang salah dengan yang betul.
b) Memadankan peribahasa dengan situasi.

Lembaran Kerja Peribahasa



Nama: ___________________________ Tarikh: __________ Kelas: 5___________

Arahan: Gantikan frasa atau ayat-ayat yang bergaris bawah dengan peribahasa yang betul.

Tuliskan jawapan kamu di tempat kosong yang disediakan.

Bagai mencurah air di daun keladi
Seperti anak ayam kehilangan ibu
Seperti rusa masuk kampung
Seperti bumi dengan langit
Bagai aur dengan tebing
Seperti anjing dengan kucing
Seperti kacang lupakan kulit
Seperti kerbau dicucuk hidung
Bagai si kudung beroleh cincin
Seperti katak di bawah tempurung


1. Kedua-dua adik beradik itu selalu dibanding-bandingkan kerana status kekayan mereka sangat jauh berbeza.

_______________________________________________

2. Mak Tijah amat tersinggung dengan sikap anaknya yang telah melupakan segala pengorbanan dan jasanya selama ini.

_______________________________________________

3. Para penduduk di estet perumahan Bedok masih hidup tolong-menolong jika ada majlis kahwin atau kenduri-kendara.

_______________________________________________

4. Ibu telah memarahi abang yang hanya mengikut suruhan kawannya supaya terjun ke dalam kolam.

_______________________________________________

5. Orang yang hidup tanpa mengambil tahu hal ehwal yang berlaku di sekelilingnya akan ketinggalan zaman.

_______________________________________________

6. Ahmad dan Rizal tidak boleh bertemu muka kerana kedua-duanya sering tidak mahu mengalah dan akhirnya akan timbul pergaduhan.

_______________________________________________

7. “Amboi Limah! Besarnya rumah kau ini. Tak pernah seumur hidup aku melihat rumah yang sebesar ini!” kata Mak Minah.

_______________________________________________


8. Puan Maimunah berasa kecewa dengan sikap suaminya yang masih tidah mahu mendengar nasihatnya supaya berhenti merokok.

_______________________________________________

 http://www.moe.gov.my/